Sunday, July 13, 2008

Sikap Orang Melayu Kita

Apa nak Jadi?

Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.


Penggunaan istilah "Melayu" muncul buat pertama pada kira-kira 100-150 Masihi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis, yang menggunakan istilah "maleu-kolon". G. E. Gerini menganggap istilah itu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu malayakom atau malaikurram, yang merujuk kepada Tanjung Kuantan di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, Roland Bradell menganggap tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung.


Istilah "Mo-lo-yu" juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan "Mo-lo-yo" yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.

Apa nak jadi dengan orang melayu kita zaman sekarang? Bangsa yang bolehlah dianggap sebagai keras kepala, tidak suka mendengar nasihat dan mempunyai minda kelas ketiga. Bukan saya hendak mengutuk bangsa saya sendiri tetapi inilah hakikatnya.

Orang melayu kita cukup tidak suka mendengar nasihat dan menerima perkara-perkara baik. Mereka lebih suka mengumpat, merosakkan harta benda awam dan sebagainya. Bila kita mengajak melakukan sesuatu perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang tidak baik bukan ucapan terima kasih yang diterima sebaliknya kita dimaki hamun dengan secukup rasa. Inilah realiti yang berlaku di zaman Globalisasi yang semakin mencabar ini.

Bila kita mengajak ke arah kebaikan niatnya hanyalah satu iaitu untuk bersama-sama melakukan kebaikan dan mengelakkan kemungkaran. Orang melayu amat bernasib baik kerana lahir sahaja ke dunia terus memeluk agama islam, jika sebaliknya yang berlaku maka orang melayu akan jadi bangsa yang sangat jahat.

Bila saya bercakap tentang orang melayu ramai yang akan marah dan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kenapa harus marah jika anda tidak seperti yang digambarkan oleh saya. Saya tidak mengatakan semuanya tetapi hanya sebahagian daripada orang melayu yang bersikap kurang ajar. "Siapa makan sambal belacan dialah yang rasa kesedapannya". Apabila menulis topik ini niat saya hanyalah satu, iaitu agar orang melayu sedar dan cuba untuk berubah. Mulakanlah perubahan dengan gaya pemanduan yang sememangnya kurang ajar. Cubalah.. Jadikan budi bahasa sebagai amalan hidup kita seharian.

Benar seperti apa yang diucapkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa orang melayu mudah lupa dan memerlukan tongkat daripada kerajaan untuk terus hidup.


Fikir-fikirkanlah...

Monday, July 7, 2008

Bersumpah bagi Menegakkan Keadilan

Gempar!

Itulah yang dapat disimpulkan apabila buat kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh melakukan kesalahan Liwat keatas seorang pemuda yang juga merupakan bekas pembantu peribadi beliau.

Walau bagaimanapun, bukan kes ini yang ingin diperbincangkan tetapi berkenaan saranan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemuda terbabit bersumpah di hadapan Al-Quran bagi menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah.

Tiada apa yang salah berkenaan saranan oleh Dr Mohd Asri tetapi dari segi tersiratnya tetap ada kontranya. Pertama dari segi sensitiviti agama yang mana berkenaan Islam. Adalah tidak beradab apabila mencampurkan soal politik dengan agama. Ia seolah-olah mempermainkan ajaran islam. Keduanya, adakah dengan bersumpah masalah akan selesai? Adalah lebih baik masalah ini diselesaikan dengan cara perundangan. Walaupun parti pembangkang membangkitkan soal ketelusan institusi kehakiman namun dengan bersandarkan kepada bukti-bukti yang kukuh menunjukkan Anwar tidak bersalah maka Anwar didapati tidak bersalah. Begitulah juga sebaliknya jika Anwar didapati bersalah.

Agama Islam bukan untuk dipermainkan. Bukan sewenang-wenangnya boleh bersumpah di hadapan Al-Quran. Harapan saya agar setiap orang yang ingin mengemukakan sebarang cadangan fikirkan dahulu pro dan kontranya..

Anda tentukan sendiri...

Sunday, July 6, 2008

GPS Di dalam bas

Baru-baru ini Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Noh Omar memberikan cadangan supaya setiap bas Ekspres dipasang dengan sistem GPS bagi memantau perjalanannya oleh Pengurus bas. Kos bagi memasang alat tersebut adalah RM3000 bagi setiap satu.

Persoalannya?

Adakah ianya berbaloi dalam membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspress?

Pada pandangan saya, cadangan yang dikemukakan oleh Dato Noh Omar tidak banyak membantu dalam menyelesaikan masalah kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres. Sistem GPS hanya digunakan bagi memantau perjalanan bas dan apabila berlakunya kemalangan melibatkan bas, rekod perjalanan akan diteliti untuk mengenal pasti punca kemalangan. Sistem GPS bolehlah diibaratkan sebagai Mengenalpasti Masalah dan bukannya Mencegah Masalah.

Secara puratanya, hampir 90% kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres adalah disebabkan kecuaian pemandu dan bukannya kerosakan teknikal bas. Jadi, sebelum melaksanakan cadangan pemasangan GPS di dalam setiap bas adalah lebih baik jika sekiranya Dato Noh Omar menyelesaikan masalah pemandu terlebih dahulu.

Masalah seperti gaji pokok yang rendah, dan ada rekod jenayah serta tidak mempunyai lesen memandu harus diselesaikan terlebih dahulu. Secara puratanya, pemandu bas hanya dibayar lebih kurang RM500 sebulan bagi gaji pokok dan yang selebihnya adalah elaun atau trip bagi setiap perjalanan.Lebih banyak trip maka banyaklah pendapatan yang diterima. Ini menunjukkan bahawa bagi setiap perjalanan pemandu berada di dalam keadaan yang keletihan disebabkan mengejar trip.

Adalah lebih baik jika sekiranya pihak berwajib menetapkan gaji minimum bagi setiap pemandu bas ekspres. Kedua mengetatkan prosedur pengambilan pemandu bas dengan meneliti rekod-rekod pemohon. Setelah menyelesaikan masalah pokok ini barulah pihak berwajib boleh melaksanakan cadangan-cadangan seperti pemasangan GPS, Kotak hitam (sudah berkubur bersama cadangannya) dan sebagainya.

Selagi masalah pemandu tidak diselesaikan, walau secanggih manapun teknologi yang akan dibawa ke dalam bas, masalah kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres tidak akan selesai!

Saya percaya jika masalah serta kebajikan pemandu bas dijaga dengan baik, kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres tidak akan berlaku lagi.

Kepada Pihak yang Berwajib...Fikir-fikirkanlah