Sunday, July 6, 2008

GPS Di dalam bas

Baru-baru ini Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Noh Omar memberikan cadangan supaya setiap bas Ekspres dipasang dengan sistem GPS bagi memantau perjalanannya oleh Pengurus bas. Kos bagi memasang alat tersebut adalah RM3000 bagi setiap satu.

Persoalannya?

Adakah ianya berbaloi dalam membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspress?

Pada pandangan saya, cadangan yang dikemukakan oleh Dato Noh Omar tidak banyak membantu dalam menyelesaikan masalah kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres. Sistem GPS hanya digunakan bagi memantau perjalanan bas dan apabila berlakunya kemalangan melibatkan bas, rekod perjalanan akan diteliti untuk mengenal pasti punca kemalangan. Sistem GPS bolehlah diibaratkan sebagai Mengenalpasti Masalah dan bukannya Mencegah Masalah.

Secara puratanya, hampir 90% kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres adalah disebabkan kecuaian pemandu dan bukannya kerosakan teknikal bas. Jadi, sebelum melaksanakan cadangan pemasangan GPS di dalam setiap bas adalah lebih baik jika sekiranya Dato Noh Omar menyelesaikan masalah pemandu terlebih dahulu.

Masalah seperti gaji pokok yang rendah, dan ada rekod jenayah serta tidak mempunyai lesen memandu harus diselesaikan terlebih dahulu. Secara puratanya, pemandu bas hanya dibayar lebih kurang RM500 sebulan bagi gaji pokok dan yang selebihnya adalah elaun atau trip bagi setiap perjalanan.Lebih banyak trip maka banyaklah pendapatan yang diterima. Ini menunjukkan bahawa bagi setiap perjalanan pemandu berada di dalam keadaan yang keletihan disebabkan mengejar trip.

Adalah lebih baik jika sekiranya pihak berwajib menetapkan gaji minimum bagi setiap pemandu bas ekspres. Kedua mengetatkan prosedur pengambilan pemandu bas dengan meneliti rekod-rekod pemohon. Setelah menyelesaikan masalah pokok ini barulah pihak berwajib boleh melaksanakan cadangan-cadangan seperti pemasangan GPS, Kotak hitam (sudah berkubur bersama cadangannya) dan sebagainya.

Selagi masalah pemandu tidak diselesaikan, walau secanggih manapun teknologi yang akan dibawa ke dalam bas, masalah kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres tidak akan selesai!

Saya percaya jika masalah serta kebajikan pemandu bas dijaga dengan baik, kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres tidak akan berlaku lagi.

Kepada Pihak yang Berwajib...Fikir-fikirkanlah